Covid-19: 117 kes positif baharu hari ini, jumlah keseluruhan 790 kes

Covid-19 file pic

KUCHING, MAC 18: Sejumlah 117 kes baharu telah dilaporkan setakat jam 12 tengah hari Rabu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara 790 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, berdasarkan siasatan awal sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 15 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Dr Adham turut memaklumkan bahawa terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari wad pada hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes.

Tambah beliau lagi, satu warta telah dikeluarkan (P.U.(A) 87 bertarikh 17 Mac 2020) memaklumkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia telah diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sehubungan dengan itu juga, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah digubal dan diwartakan (P.U. (A) 91
bertarikh 18 Mac 2020),” katanya.

Peraturan itu ujar Dr Adham adalah untuk menjelaskan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Justeru katanya, individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan.

Tegas beliau lagi, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 ATAU dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan ATAU kedua-duanya.

Tambah beliau, perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 7(1) di bawah Peraturan-Peraturan yang sama.— DayakDaily