Covid-19: 113 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif 2,108 kes

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 12: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan 113 kes pulih dan dibenarkan discaj di negara ini setakat 12 tengah hari hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 meningkat kepada 2,108 kes.


Katanya, ia bersamaan 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 12 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 153 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,683 kes.

“Sebanyak 66 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia merekodkan tiga lagi kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 76 kes, iaitu bersamaan 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-74 (kes ke-4,531) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 1.50 pagi.

“Kes kematian ke-75 (kes ke-3,469) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 5.20 pagi.

“Kes kematian ke-76 (kes ke-4,314) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 7.36 pagi,” katanya.

Pada sidang media tersebut, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat untuk tidak mempersalahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan klustar Covid-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka dan apa yang penting ialah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat.

“Orang awam dipohon untuk memberi kerejasama kepada agensi-agensi terlibat di dalam memerangi Covid-19.

“Tempoh 2 minggu akan datang ini adalah penting dimana kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya. — DayakDaily