Covid-19: 1 kematian dengan 14 kes positif baharu

Dr Noor Hisham Abdullah. (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Sept: Satu lagi kes kematian Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian dalam negara meningkat kepada 128 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian terbaharu itu melibatkan perempuan warganegara berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru serta darah tinggi.

“Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 15 Ogos lepas dalam kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan.

“Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada panyakit barah, justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 September 2020 jam 10.38 pagi. Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, 14 kes baharu itu melibatkan sembilan kes tempatan dan lima kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,354 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 151 kes,” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, sembilan kes tempatan itu adalah melibatkan lima warganegara dan empat bukan warganegara, manakala semua lima kes import pula melibatkan bukan warganegara.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 21 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,075 kes atau 97.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily