KUCHING, 28 Jun: Seramai 1,639 penduduk di Lawas dan Ba’kelalan telah menerima suntikan vaksin daripada Combat Medic Vaccination Team (CMVT ATM) sejak 22 Jun lepas.
Sel Perhubungan Raya MK 1 Divisyen dalam kenyataan hari ini berkata, program bermula di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Buduk Nur, Ba’kelalan dengan seramai 465 orang menerima suntikan vaksin dalam tempoh dua hari.
.
“CMVT ATM kemudiannya bergerak ke PPV Kg Long Semadoh, Lawas pada 24 hingga 26 Jun 2021 dan berjaya memberi suntikan vaksin kepada 776 penduduk di sana.
“Seterusnya di PPV Long Sukang, Lawas pada 25 hingga 26 Jun 2021 dan jumlah penerima vaksin adalah 398.
“Program pemvaksinan ini bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, program vaksinasi di kawasan pedalaman Sarawak ini dilaksanakan secara ‘Suntik Dahulu, Daftar Kemudian’.
Ia bertujuan untuk membantu masyarakat yang berada di pedalaman untuk mendapatkan vaksinasi selain membantu kerajaan Sarawak mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang bulan Ogos ini.
Katanya, CMVT ATM di Sarawak ini akan diteruskan lagi ke kawasan di sekitar Kapit, Sibu dan Miri dalam masa terdekat. — DayakDaily