KUCHING, Julai 6: Syarikat Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) menafikan memiliki monopoli terhadap pengeluaran dan penjualan simen di negeri ini.
CMS dalam satu kenyataan menegaskan, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon mendakwa syarikat pengeluar simen tunggal di Sarawak memonopoli pasaran adalah tidak benar.
Tegas CMS, ia adalah memandangkan syarikat berkenaan tidak pernah meningkatkan harga simen di negeri itu sejak Januari 2016.
“Bagi mengelak harga simen dinaikkan, CMS memilih untuk menyerapkan peningkatan kos pembuatan simen dan meningkatkan kecekapan operasinya tanpa melepaskan bebanan kepada para pelanggan kami.
“Sebagai respon maklum balas terhadap dakwaan Dr Ting, CMS ingin menegaskan bahawa adalah tidak tepat mendakwa bahawa CMS mempunyai monopoli terhadap pengeluaran dan penjualan simen di Sarawak.
“Malah, CMS tidak pernah menaikkan harga simen di Sarawak sejak Januari 2016 sebaliknya meningkatkan kecekapan operasi tanpa melepaskan bebanan kepada pelanggan,” kata CMS dalam satu kenyataan hari ini.
CMS menambah, situasi tersekat adalah bertentangan dengan kenyataan Dr Ting yang mendakwa sejak Jun 2016 harga satu beg simen seberat 50 kilogram (kg) adalah sebanyak RM21.50 di Sarawak, namun hanya RM17.30 dijual di Sabah.
Jelas CMS, angka sebenar harga simen sebenarnya adalah mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia ialah sebanyak RM20.37 untuk beg simen 50 kg di Sabah
Manakala, sebanyak RM21.14 di Sarawak iaitu hanya berbeza 77 sen, bukannya RM4.20 seperti didakwa oleh Dr Ting sebelum ini.
“Harga simen yang ditetapkan oleh para peniaga di Sarawak adalah sederhana kerana terdapat masalah peniaga dan peruncit terpaksa menangggung kos yang tinggi.
“Jadi, harga simen di Sarawak tidak boleh dijangka atau disamakan dengan Sabah kerana saiz negeri ini lebih luas iaitu 124,451 kilometer (km) persegi berbanding 73,904 km persegi di Sabah).
“Yang mana secara eksponen akan meningkatkan kos logistik kerana jarak penghantaran lebih lama dan pengendalian berganda,” kata CMS lagi.
CMS menambah, pihak mereka sentiasa memastikan bahawa operasi perniagaan cekap agar dapat memenuhi semua keperluan simen pada harga yang berpatutan. — DayakDaily