Oleh Dean Adam
SARIKEI, Ogos 30: SMK Bandar Sarikei melakar sejarah tersendiri apabila dicatatkan dalam Malaysia Book of Records susulan kejayaan menghasilkan replika Jalur Gemilang dengan menggunakan manik.
Replika sepanjang 3.79 meter panjang dan lebar kira-kira 1.56 meter itu dihasilkan warga sekolah tersebut dalam tempoh empat bulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata keupayaan mencipta replika bendera yang sekaligus dicatatkan dalam rekod Malaysia amat membanggakan.
“Saya amat berbangga dengan warga sekolah ini khususnya kepada mereka yang bertungkus-lumus menyiap dan mencipta replika Jalur Gemilang.
“Ini ada kejayaan luar biasa sempena menyambut Bulan Kemerdekaan Ke-62 dan saya percaya warga sekolah ini mampu membuat sesuatu kelainan lagi pada masa depan,” katanya di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-62 di SMK Bandar Sarikei, hari ini.
Huang menambah, beliau juga berharap sekolah-sekolah di kawasan Repok akan melakukan kelainan dengan mencipta kejayaan dalam aspek kokurikulum dan akademik. —DayakDaily