Ceramah keselamatan kebakaran tingkat kesedaran masyarakat tentang bahaya kebakaran

Kelihatan anggota bomba memberi penerangan kepada para peserta ceramah keselamatan kebakaran.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 4: Seramai 300 penduduk Kampung Masjid, Kuala Baram telah mengambil bahagian dalam ceramah keselamatan kebakaran di sini hari ini.

Ceramah berkenaan telah dikendalikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, objektif utama ceramah tersebut disampaikan adalah bagi mewujudkan kesedaran mencegah dan mengurangkan kemungkinan berlakunya kebakaran.

Katanya, ini kerana insiden kebakaran boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda.

“Penduduk kampung juga telah diberi ceramah keselamatan kebakaran dan tatacara dan praktikal penggunaan alat pemadam api serta tatacara menangani kebakaran melibatkan silinder LPG.

“Menerusi ceramah yang sama, penduduk kampung juga diberi penerangan tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa berlakunya kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, terdapat juga beberapa jenis kebakaran dan menekankan pentingnya strategi untuk mencegah kebakaran yang perlu disediakan di setiap bangunan.

Katanya, strategi pencegahan tersebut adalah termasuk pemasangan pemadam api dan sistem pengesanan asap di bangunan kediaman.

“Bagi mewujudkan kepakaran dan waspada menangani kebakaran serta tindakan pencegahanadalah perlu bagi kita memahami secara mendalam punca utama penyebabnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement