Dua peniaga, seorang pegawai imigresen berjaya elak ditipu ‘Macau scam’

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 4: Dua orang peniaga dan seorang pegawai imigresen berjaya mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa yang berjaya mengelak daripada ditipu berusia antara 26 hingga 48 tahun.


Jelasnya, kesedaran yang tinggi mengenai kes-kes sebelum ini telah menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang menerima panggilan telefon daripada sindiket berkenaan telah bertindak segera memutuskan talian.

“Mereka (mangsa) juga berjaya menafikan terlibat dalam kes-kes jenayah kononnya melibatkan nama mereka.

“Ketiga-tiga mangsa kononnya dikatakan terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram, sindiket dadah dan kes langgar lari,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, ketiga-tiga mangsa yang curiga dengan panggilan berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dalam hal berkenaan, mereka tidak mengalami sebarang kerugian.

“Buat masa ini, kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily