Centexs merancang membuka kampus sementara di pekan Betong

Talib (dua dari kiri) menyampaikan sijil kemahiran kepada pelatih Centexs sambil disaksikan Syeed Mohd Hussein (kiri) di Majlis Konvokesyen Centexs Ke-4.
Advertisement

KUCHING, Dis 17: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) yang menyediakan latihan kemahiran kepada belia di negeri ini merancang membuka kampus sementaranya di pekan Betong tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Centexs, Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman berkata kampus sementara tersebut dicadangkan dibuka di fasa baharu pekan Betong serta dirancang mengunakan dua blok rumah kedai tiga tingkat dan kerja renovasinya akan dimulakan tidak lama lagi.

“Kampus sementara di Betong akan menjadi kampus kami yang kelima di negeri ini walaupun kami baru sahaja berusia empat tahun. Centexs ketika ini ada kampus di Kuching, Lundu, Dalat dan Lawas,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Centexs Ke-4 di Pusat Konvenysen Penview Demak (PCCD), Demak Laut, di sini, hari ini.

Advertisement

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip telah menyampaikan sijil berkenaan kepada pelatih dengan majlis juga dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), Datu Jaul Samion dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon.

Syeed Mohd Hussein berkata kemungkinan kampus sementara Centexs di Betong dibuka antara Januari atau Mac tahun hadapan dan permulaannya akan menawarkan tempat kepada seramai 200 orang pelatih setahun iaitu seramai 100 pelatih bagi sesi Januari-Julai dan selebihnya bagi sesi April-Oktober.

“Ini kerana kami mahu melihat dahulu sambutan terhadap kampus sementara Centexs di Betong dari penduduk Betong, Sarikei dan Sibu. Kampus sementara terbabit akan menawarkan program latihan kemahiran yang ada di kampus Kuching termasuk Teknologi Fesyen dan juga Pertanian Digital,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membina kampus kekal Centexs di Betong sekiranya program latihannya mendapat sambutan dari penduduk tempatan kerana tapak kampus itu sudah tersedia di Betong.

“Kampus kekal Centexs di Betong dijangka akan dapat disiapkan pada 2021 sekiranya kami (sekarang) mendapat kelulusan bagi mula membinanya dari kerajaan negeri,” katanya.

Manakala mengenai Kampus Centexs Lundu, beliau mendedahkan kampus tersebut sedang dalam pembinaan dengan kos sebanyak RM200 juta dan dijangka siap pada 2020 sama seperti kampus Centexs di Lawas dan Dalat.

Sementara itu, mengenai Majlis Konvokesyen Centexs Ke-4, Syeed Mohd Hussein mendedahkan keseluruhannya seramai 442 pelatih Centexs telah menerima sijil kemahiran masing-masing.

Pelatih tersebut mendapat sijil kemahiran dalam Teknologi Kimpalan 6G, Inspektor Kimpalan 3.0, Kru Pembinaan Minyak dan Gas, Rigging & Slinging, Jentera Berputar, Peralatan Statik, Juruelektrik Plus, Chargeman L1, Scaffholding, Operator Bekerja Pada Ketinggian Level 1.1, Hospitality-Operator Pelayan Banquet, Diploma Profesional Dalam Rekaan Rambut Dan Solekan, Teknologi Fesyen (Lanjutan), Teknologi Fesyen (Asas), dan Digital- Pembangunan Aplikasi Mobile Android.

Katanya Centexs ketika ini juga sedang meneroka program latihan baharu kepada pelatihnya termasuk dalam tekstil iaitu warisan tenunan songket Sarawak dan sulaman keringkam.

“Dengan sokongan dan kerjasama pasukan Warisan Kampung, Centexs telah mengadakan bengkel selama enam bulan yang membabitkan latihan sepenuh masa dan projek inkubator bagi sulaman keringkam dan tenunan songket Sarawak,” katanya.

Selain itu Centexs telah menubuhkan makmal digital dan latihan digital pertama di Kuching dan juga menjadi Rakan Latihan Pakar Bertauliah Huawei Wilayah Asia Tenggara pertama yang bukan sahaja memberi fokus kepada penduduk tempatan tetapi juga Asean.

Katanya insiatif terbabit bagi menyediakan golongan belia tempatan dengan latihan kemahiran dunia digital dan membolehkan mereka menyumbang kepada ekonomi digital Sarawak. — DayakDaily

Advertisement