Kira-kira 100 penghuni rumah panjang Sandau berdepan risiko bahaya akibat tanah runtuh

Kelihatan kesan runtuhan tanah di kawasan belakang rumah panjang.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Dis 17: Kira-kira 100 penghuni rumah panjang Sandau di Sungai Mapai dekat sini berdepan dengan risiko bahaya susulan kejadian tanah runtuh di kawasan rumah panjang tersebut.

Kejadian tanah runtuh tersebut dilaporkan berlaku pada Disember 15 lepas, namun hanya dimaklumkan kepada pihak berkuasa, hari ini.


Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, maklumat dari penghuni rumah panjang berkenaan memaklumkan terdapat runtuhan tanah baharu di kawasan belakang rumah panjang tersebut pada pagi tadi.

Jelasnya, bagaimanapun runtuhan tanah tersebut belum lagi menjejaskan penduduk di rumah penghuni tersebut.

Penghuni rumah panjang menunjukkan kesan runtuhan tanah.

“Jalan utama untuk menuju ke rumah panjang tersebut adalah menggunakan laluan balak dan hanya dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati penilaian lebih teperinci mengenai struktur runtuh tanah tersebut memerlukan perhatian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya di sini hari ini.

Jurucakap JPBN Sarawak menambah, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja pemantauan.

Katanya, pihak APM juga telah mengarahkan penghuni rumah panjang supaya bersedia untuk berpindah ke lokasi lebih selamat sekiranya keadaan semakin teruk.

“Namun, setakat ini keadaan penghuni rumah panjang di situ dalam keadaan selamat,” ujarnya. — DayakDaily