Centexs berminat sediakan latihan berkaitan bidang petrokimia

Syeed Mohd Hussein (tengah) pada sidang media di Centexs di Santubong hari ini (14 Jun 2022).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Jun: Pusat Kecemerlangan Teknikel Sarawak (Centexs) berminat untuk menyediakan latihan berkaitan bidang petrokimia bagi memenuhi permintaan tenaga kerja di sektor tersebut.

Ketua pegawai eksekutifnya Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, ia difikirkan perlu setelah beberapa beberapa loji petrokimia diwujudkan di seluruh negeri.


“Loji petrokimia seperti methanol diwujudkan di negeri ini tetapi tiada latihan berkaitan industri tersebut .

“Kita melihat kekosongan ini dan kita ingin mengisinya. Kemungkinan besar Centexs akan menerokai bidang ini bagi menyediakan rangkaian latihan berkaitan minyak dan gas,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Centexs akan menyediakan banyak lagi latihan di dalam pelbagai bidang di masa hadapan .

Setakat ini, katanya, Centexs telah menyediakan 64 program di kampusnya di seluruh Sarawak di mana 21 program adalah di bawah akademi digital.

Bagi akademi digital, Centexs akan mengadakan kerjasama dengan banyak lagi rakan kongsi seperti IBM, Microsoft, Siemens serta pemain lain dalam pelbagai bidang.

Syeed Mohd Hussein menjangkakan jumlah program latihan akan meningkat sehingga 40 dalam tempoh dua tahun akan datang daripada 21 sekarang.

“Banyak kerja untuk kita lakukan dan rakan kongsi kita akan mereka program.

“Kerajaan Sarawak juga banyak menyokong usaha Centexs, mengetahui ia adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Lawatan Abang Johari (tengah) ke Centexs pada Simposium Antarabangsa-Transformasi Industri Digital baru-baru ini. (gambar fail)

Tambah beliau, Centexs akan mengambil bahagian di dalam program mempromosi kursus berkaitan digital di 40 lokasi termasuk di luar bandar.

Katanya, Sarawak mendahului di dalam teknologi ini dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melakukan tugas dengan baik.

“Jika anda mengikuti ucapan beliau, beliau sering bercakap mengenai teknologi baru dan jarang seorang pemimpin begitu berminat dengan teknologi,” ujar beliau.

Lawatan Abang Johari ke Centexs pada Simposium Antarabangsa-Transformasi Industri Digital baru-baru ini. (gambar fail)

Pada sidang media itu, Syeed Mohd Hussein berkata Simposium Antarabangsa-Transformasi Industri Digital yang diadakan di Centexs Santubong mulai 7 hingga 8 Jun berjaya dengan 2,600 penyertaan secara fisikal dan atas talian.

Katanya, Huawei yang diwakili pengarah Asia Pasifiknya bercakap mengenai bandar pintar dan kepentingannya serta pengalaman di China.

“Disebabkan Sarawak ingin menjadikan Kuching, Sibu dan Miri sebagai bandar pintar, ini merupakan pengalaman bermakna kepada peserta simposium yang terdiri daripada pegawai kerajaan, swasta dan pelajar.

“Perkongsian memberikan gambaran sepenuhnya berhubung pengalaman dan cabaran teknologi bandar pintar,” ujar Syeed Mohd Hussein.

Selain itu, katanya, wakil daripada rakan kongsi Centexs seperti Schlumberger, Bosch, Keysight Technologies, Sarawak Petchem, Sarawak Metro dan Sarawak Energy turut berkongsi pengalaman. — DayakDaily