CCDC baru di Satang Biru menolong nelayan tempatan memasarkan produk perikanan

Muhammad Faiz (kiri) bersama kakitangan LKIM memeriksa bekalan udang yang baru ditangkap dari kolam diusahakan PNK Satang Biru di Telaga Air.

KUCHING, Julai 12: Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru yang dibina dengan kos hampir RM200,000 kini sudah mula beroperasi bagi membantu nelayan tempatan memasarkan produk perikanan mereka tanpa bergantung kepada orang tengah.

Bangunan CCDC PNK Satang Biru siap dibina April lepas dan antara kemudahannya adalah bilik sejuk dengan kapasiti 10 metrik tan, ‘blast freezer’ dengan kapasiti 200 kilogram, meja bekerja, meja penyusunan dan satu lori kargo tiga tan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata CCDC berperanan sebagai pusat sehenti mengumpulkan produk perikanan dari nelayan dan pengusaha akuakultur tempatan.


“Peniaga (di CCDC PNK Satang Biru) pula dapat membeli produk terus (dari nelayan dan pengusaha akuakultur) tanpa melibatkan orang tengah. Jadi ini adalah usaha kerajaan melalui LKIM untuk memendekkan rantaian bekalan supaya harga (produk perikanan) di pasaran menjadi lebih berpatutan,” katanya selepas merasmikan CCDC PNK Satang Biru di Pejabat PNK Satang Biru, Telaga Air, di sini, semalam.

Juga menghadiri acara perasmian itu ialah Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan LKIM, Kusuadi Sallih, Pengarah LKIM Sarawak, Azmi Othman dan Pengurus Besar PNK Satang Biru, Martinah Tarridie.

Muhammad Faiz berharap hampir 900 ahli PNK Satang Biru dapat mengunakan CCDC dibina LKIM itu untuk memainkan peranan aktif membantu kerajaan membekalkan bekalan produk perikanan pada harga berpatutan di pasaran.

Katanya setakat ini sudah lima CCDC dibina pihaknya di seluruh Sarawak dan pihaknya akan menambah lagi bilangannya sekiranya ada keperluan dari persatuan nelayan tempatan.

Selain itu, beliau juga mendedahkan ketika ini PNK Satang juga mengusahakan kolam ternakan udang harimau dan udang putih seluas 90 hektar dengan udang terbabit mendapat pasaran yang baik dengan 80 peratus bekalannya ke pasaran tempatan dan 20 peratus untuk dieksport.

“Di seluruh negara baru ada dua persatuan nelayan yang terlibat (dalam industri akuakultur) iaitu PNK Satang Biru dan Persatuan Nelayan Melaka. Kadar ini masih rendah serta kita mahu mengubah minda mereka dari aktiviti (perikanan) tradisional kepada moden,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalakkan lebih ramai persatuan nelayan tempatan mencuba mengusahakan kolam ternakan udang seperti PNK Satang Biru bagi menambah pendapatan ahli persatuan dan mengurangkan kemiskinan di kalangan mereka. — DayakDaily