Capai kualiti dan matlamat pengurusan acara rasmi kerajaan, gesa Jaul

Jaul (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel di Kuching.

KUCHING, JAN 22: Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion mahukan pelaksanaan pengurusan acara bagi majlis dan acara rasmi kerajaan negeri haruslah berkualiti dan mencapai matlamat.

Berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pengurusan Acara 2.0 di sebuah hotel di Kuching semalam, Jaul berkata ia selaras dengan matlamat untuk mencapai perkhidmatan awam bertaraf dunia.

“Banyak idea telah timbul daripada bengkel dan ini akan memanfaatkan lagi kerajaan negeri Sarawak dalam menganjurkan berbagai-bagai acara pada masa hadapan,” ujarnya.


Menurut beliau lagi, bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu bermula dari 19 Januari bakal memberi manfaat kepada kerajaan negeri dalam menambahbaik pengurusan acara program-program besar kerajaan negeri pada masa akan datang.

Justeru Jaul mahukan pengurusan acara bagi majlis dan acara negeri diberi kerjasama semua pihak bagi memastikan ia berjalan lancar dan menjaga nama baik kerajaan negeri.

“Kecemerlangan pengurusan acara bukanlah bergantung kepada UPPAN sahaja. Ia harus melibatkan pelbagai pihak bagi memastikan setiap aspek dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Ia seterusnya memberi kesan yang mendalam terhadap keberkesanan pengurusan majlis kerajaan negeri,” ujar beliau.

Terdahulu, Pengarah Unit Protokol dan Pengurusan Acara (UPPAN), Azlan Ali Badri pada ucapan aluan berkata bengkel melibatkan 57 peserta yang bukan sahaja dari kalangan sektor awam dan swasta, malah dari institusi pengajian tinggi dan persatuan-persatuan seni dari seluruh negara.

“Bengkel tersebut memberi ruang untuk mengumpul pengalaman peserta-peserta bengkel yang ada, bermatlamat untuk memberi penekanan kepada sebarang penambahbaikan gerak kerja pengurusan acara,” ujarnya.

Azlan juga berharap agar kakitangan UPPAN diberi peluang untuk menimba pengalaman di luar Sarawak sebagai langkah peningkatan kapasiti kakitangan UPPAN pada masa akan datang. — DayakDaily