5,562 peluang pekerjaan akan ditawarkan di SCaT Fair, Mac 9-11

Len Talif (tengah) bercakap kepada pihak media ketika mengadakan sidang media SCaT Fair 2018.

KUCHING, Feb 28: Keseluruhannya sebanyak 5,562 peluang pekerjaan akan ditawarkan majikan industri kepada pengunjung Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCaT Fair) 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, dari Mac 9 hingga 11 depan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh mengalukan penduduk negeri ini terutama yang masih mencari pekerjaaan supaya mengunjungi pameran terbabit dan memohon peluang pekerjaan itu yang dikenalpasti bakal ditawarkan sebanyak 67 majikan industri.

“Keseluruhannya sebanyak 5,562 peluang pekerjaan akan ditawarkan oleh majikan industri kepada pengunjung SCaT Fair 2018. Kami juga mensasarkan pameran ini dikunjungi tidak kurang dari 20,000 pengunjung samada yang mencari pekerjaan atau mendapatkan latihan kemahiran,” katanya ketika sidang media SCaT Fair 2018 di BCCK, Sejingkat, di sini, semalam.


Len Talif berkata SCaT Fair 2018 adalah kali ketujuh program tersebut dianjurkan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan (MESTR) bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) dan akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Mac 10 depan.

“SCaT Fair 2018 akan ada keseluruhannya seramai 153 peserta iaitu seramai 67 peserta dari majikan industri, 70 peserta dari institusi penyedia latihan kemahiran, sembilan peserta dari institusi penyedia bantuan kewangan dan tujuh peserta dari agensi kerajaan,” katanya.

Antara majikan industri terbabit ialah Petronas, Sarawak Shell Berhad, Hilton Hotel, Damai Beach Resort, Toko Electronik (Sarawak) Sdn Bhd, Press Metal Bintulu Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Central Cold Storage Kuching, X-Fab Sdn Bhd, Longi (Kuching) Sdn Bhd, Taiyo Yuden Sdn Bhd, HGST Malaysia Sdn Bhd, Emart (Batu Kawah) Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad dan Kuching Specialist Hospital.

Antara institusi penyediaan latihan kemahiran terbabit ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Kuching, Politeknik Mukah, Politeknik Metro Betong, Kolej Laila Taib, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan German-Malaysia Institute, Limkokwing Institute Of Creative Technology, Pusat Latihan Score, Swinburne University Of Technology Sarawak Campus, Sarawak Maritime Acadamy, Satt College dan Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS).

Manakala institusi penyedia bantuan kewangan terbabit ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Yayasan Sime Darby, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (Kementerian Sumber Manusia), Sin Chiew Daily Education Fund, Yayasan Khazanah, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak dan Yayasan Sarawak.

“Disamping itu, kami turut mensasarkan membawa seramai 1,500 pelajar sekolah dari sekitar Kuching, Serian, Kota Samarahan, Bau dan Lundu bagi mengunjungi pameran terbabit,” kata Len Talif.

Beliau berkata antara acara menarik bagi pengunjung pada SCaT Fair 2018 ialah peluang mencuba simulator penerbangan, peluang menyertai pertandingan memasak Next Big Chef 2018 anjuran UCSI University, Hackweekend Kch disamping Stem Playground 2018. — DayakDaily