Calon PKR memohon sumbangan orang ramai untuk membawa balik pengundi Puncak Borneo yang bekerja jauh

Willie Mongin

KUCHING, Mei 5: Kira-kira seramai 200 pengundi di Puncak Borneo yang bekerja jauh, mungkin tidak dapat turun mengundi pada Mei 9 ini disebabkan kekangan kewangan.

Menurut calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kerusi Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, mereka adalah yang bekerja di Semenanjung Malaysia, Sabah termasuk Miri, Limbang dan Bintulu.

Justeru, beliau memohon jasa baik orang ramai supaya menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu golongan tersebut agar dapat balik mengundi.

“Saya memohon orang ramai untuk memberi sumbangan bagi membantu mereka ini supaya dapat balik mengundi,” katanya ketika ditemu-bual.

Sehubungan itu, Willie berkata orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Bilik Gerakan Utama di talian 010-2132691 (Nilson Ales).


“Dengan adanya sumbangan ikhlas dari orang ramai, kami sedikit sebanyak dapat membantu untuk membeli tiket penerbangan dan tiket bas kepada mereka,” katanya. — DayakDaily