Oleh Chris Bishop
KUCHING, 15 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan diketahui dalam masa tiga hari.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beberapa nama sudah dikenalpasti.
“Kita ada beberapa nama dan senarai ini sedang ditapis oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jadi kalau ada masalah, kita mahukan calon yang bersih dan baik, yang tidak ada rekod,” katanya pada sidang media selesai Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 Zon Utara di Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Tambah Abang Johari yang juga Presiden PBB, faktor umur juga diambil kira dalam memilih calon, sebagai mengambil kira komposisi pengundi.
“Yang pasti calon PBB/GPS nanti ialah orang tempatan, komuniti Vaie,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdahulu menetapkan PRK DUN Jepak pada 4 November ini dengan 21 Oktober sebagai hari penamaan calon.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, hari pengundian awal pula ditetapkan pada 31 Oktober ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 21 Oktober 2023 sehingga jam 11.59 malam, 3 November 2023.
Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong apabila penyandangnya selama enam penggal sejak 1996, Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia pada 15 September lalu.
Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah pada jam 5.50 petang akibat beberapa komplikasi seperti buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis. — DayakDaily