Buruh binaan cabul anak saudara diberkas

Suspek (tengah) ditahan polis.

SIBU, Jan 3: Polis menahan seorang buruh tapak pembinaan selepas dia didakwa mencabul anak saudaranya yang berusia tiga tahun di sebuah rumah di Jalan Tiong Hua di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailani Amit berkata, lelaki berusia 32 tahun tersebut ditangkap oleh sepasukan anggota polis di rumah berkenaan pada pukul 11 malam.

Katanya, sebelum itu, perbuatan durjana lelaki terbabit disedari oleh ibu mangsa selepas dia mendengar anaknya menjerit dan menangis di dalam sebuah bilik di kediaman berkenaan.


“Bimbang perkara tidak diingini terjadi kepada anaknya, wanita berkenaan kemudian bertindak membuka pintu bilik sebelum lelaki berkenaan meluru keluar melarikan diri.

“Kanak-kanak yang masih dalam keadaan menangis itu kemudian memaklumkan kepada ibunya bahawa bahagian sulitnya sakit.

“Panik dengan situasi berkenaan, ibu yang berusia 30 tahun segera melakukan pemeriksaan sebelum terkejut mendapati ada kesan darah pada kemaluan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zailani menambah, geram dengan tindakan lelaki itu, ibu mangsa kemudian membawa anaknya melakukan pemeriksaan di hospital sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tambahnya, pihak mahkamah telah meluluskan permohonan reman selama tujuh hari bemula hari ini ke atas suspek untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya lagi. — DayakDaily