Penguang: Masyarakat luar bandar perlu terus sokong BN

Penguang (kiri) menunjukkan tanda bagus bersama penduduk kampung.

MARUDI, Jan 3: Masyarakat di konstituensi Marudi perlu terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kesinambungan berterusan pembangunan dan masa depan yang lebih terjamin.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, sokongan yang kuat amat penting bagi membolehkan BN membentuk kerajaan dan meneruskan pelan transformasi yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menjelaskan, kawasan Marudi telah banyak menerima pelbagai projek pembangunan khususnya untuk manfaat penduduk setempat.


“Kerajaan BN sudah membawa banyak pembangunan kepada masyarakat luar bandar dan kita tidak perlu mendengar pembangkang yang banyak memburuk-burukkan kerajaan kerana mereka tidak pernah melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat terutama di Marudi.

“Mereka juga tuduh tiada pembangunan di Marudi, padahal mereka orang luar dan jarang menjejakkan kaki ke Marudi dan sebab itu mereka tidak tahu perkara sebenar,” katanya di Rumah Manggi Anak Andam Kampung Long Tisam A di sini.

Dalam satu majlis di situ, beliau telah menyerahkan cek MRP kepada JKKK Ruman Manggi (RM30,000), JKKK Rumah Atam (RM20,000) dan JKKK Rumah Malina (RM20,000). Turut hadir adalah Ketua-ketua Kaum di Long Tisam.

Dalam pada itu, Penguang mengingatkan pengundi agar menolak sama sekali kehadiran pembangkang di Marudi kerana mereka tidak ikhlas dan tidak pernah membantu masyarakat setempat.

Beliau turut menaruh keyakinan sokongan masyarakat luar bandar di daerah ini tetap teguh kepada BN .

“Malah kita lihat masyarakat luar bandar sudah bijak dan tidak mudah terpesong dengan dakyah yang dibawa oleh pembangkang dan hanya menaruh keyakinan terhadap kemampuan BN yang terbukti mampu membawa perubahan,” katanya. — DayakDaily