KUCHING, 8 Feb: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas satu bungkusan mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.4 kilogram yang tidak dituntut di sebuah premis syarikat pengangkutan di sini pada Jumaat lepas.
Pengarahnya Herman Shah Abdullah berkata rampasan tersebut dibuat selepas pasukan operasi mendapati bungkusan dari Miri itu mencurigakan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan sekitar jam 12.55 tengah hari itu kemudian mendapati terdapat sejumlah bungkusan kecil di dalamnya bercetak tulisan ‘Juice Master’ dan gambar-gambar buah-buahan.
“Pemeriksaan rapi ke atas bungkusan tersebut mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat lebih kurang 1,468 gram dan dianggarkan bernilai RM73,400,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bungkusan tersebut kemudian dirampas dan usaha menjejaki pengirim dan penerima sedang giat dijalankan.
“Dipercayai suspek menggunakan perkhdiamtan kargo antara bandar untuk mengirim bungkusan tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan kos perkhidimatan juga murah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati.
Justeru Kastam menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Kita juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily