Hubungan harmoni perlu dilindungi untuk kestabilan politik dan ekonomi

Penguang (duduk lima dari kanan) merakamkan gambar bersama peserta seminar kepimpinan BEM di Pekan Beluru.

BELURU, Okt 7: Hubungan harmoni dan perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini perlu dijaga serta dilindungi sepanjang masa.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, keharmonian kaum yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat merupakan satu keistimewaan yang mampu menarik minat para pelabur asing untuk melabur di Sarawak.

Jelas beliau, hubungan ketidakharmonian antara kaum hanya akan mengakibatkan negeri ini berada di dalam keadaan yang tidak stabil.


“Justeru, bagi mencapai kemajuan serta pembangunan yang berterusan, sikap penerimaan antara kaum amat penting.

“Apabila hubungan harmoni serta perpaduan dicapai, kita yakin urusan pembangunan negeri ini pasti akan berjalan dengan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan seminar kepimpinan Borneo Evangelical Mission (BEM) di Pekan Beluru di sini hari ini.

Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi memberitahu, persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pemupukan agama yang sempurna.

Katanya, agama sangat penting kerana ia dapat membentuk ikatan sosial dan menyatukan semua masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Ini kerana perpaduan kaum adalah elemen penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan politik,” ujarnya. — DayakDaily