Budak lelaki berusia 2 tahun hilang di kuari, Sematan

Operasi SAR dimulakan sebaik sahaja laporan diterima.

LUNDU, 15 Feb: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang di sebuah kuari di Jalan Kampung Perigi, di sini hari ini.

kanak-kanak itu, 2 tahun, dikatakan hilang di kawasan pondok belakang rumah pekerja kuari tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata laporan kehilangan mangsa diterima pada jam 2.05 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kehilangan kanak-kanak itu disedari oleh ibunya semasa sedang menunggu suaminya pulang dari bekerja bertempat di pondok kuari Batu Perigi.

“Semasa menunggu, kanak-kanak kali terakhir dilihat oleh ibunya sedang bermain di luar kawasan pondok belakang rumah kongsi kuari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ibu kanak-kanak itu memanggil serta mencari anaknya dengan bantuan suami dan beberapa pekerja sekitar kawasan namun kanak-kanak itu masih gagal ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sekitar belakang rumah serta sekitar kawasan kawasan belakang rumah dan kuari dalam radius 500 meter sehingga 1,000 meter sehingga ke kawasan ladang sawit.

Anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pekerja kuari turut sama dalam operasi tersebut. — DayakDaily