Buda raih gelaran Mr World di kejohanan bina badan WBPF ke-10

Buda (tengah) dijulang dengan gelaran Mr World.

KUCHING, Dis 15: Atlit bina badan negara dari Sarawak, Buda Anchah, melakar sejarah pribadi setelah memenangi pingat emas kategori master 80kg peringkat umur 40-49 tahun di Kejohanan World Bodybuilding Physique Sports Federation (WBPF) ke-10 kelmarin.

Berlangsung di Chiang Mai, Thailand, bermula 11 hingga 17 Dis, Buda mengatasi atlit Myanmar Tun Min di kedudukan perak dan atlit Ubekistan Farkhod Subkhankulov di kedudukan gangsa.

Dengan kejayaan pingat emas tersebut, atlit kelahiran Jaong, Sri Aman, itu mengulangi pencapaian beliau pada tahun 2013 di kejohanan sama yang diadakan di Budapest, Hungary.

Buda, 46,  turut memperolehi pingat perak kategori master 70kg pada kejohanan kali ini. Ketika dihubungi DayakDaily hari ini, beliau yang masih berada di Chiang Mai berasa gembira diatas pencapaian tersebut yang sekaligus membolehkan beliau bergelar Mr World.

“Penat lelah menjalani latihan selama ini telah pun membawa kejayaan yang amat bermakna buat saya. Kejayaan di pentas dunia ini juga khas buat Malaysia dan Sarawak,” kata Buda.

Buda (kanan) memperagakan otot badan di pentas Kejohanan WBPF ke-10 di Chiang Mai.

Belum membuat keputusan untuk bersara setelah 26 tahun berkecimpung dalam sukan bina badan, Buda mengatakan akan terus menyeretai kejohanan di masa akan datang.

Beliau juga menyimpan hajat untuk membantu Sarawak melahirkan jaguh bina badan di masa akan datang.

“Saya ada perancangan untuk melahirkan atlit pelapis sukan bina badan di negeri ini.

“Untuk mencapai matlamat itu, sudah tentu saya memerlukan sokongan dari Kerajaan Negeri Sarawak,” tegas beliau yang telah mewakili Malaysia dalam sukan bina badan sejak tahun 2006.

Buda juga menghadiahkan kejayaan tersebut kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan yang telah banyak membantu.

Penghargaan juga beliau ucapkan kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) dan Kelab Irin Hardcore Kota Samarahan. — DayakDaily