This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 6 Sep: Atlit bina badan negara Buda Anchah pada Isnin lepas (Sept 4) meraih pingat emas di kejohanan ’55th Asian Bodybuilding and Physique Sport 2023’ di Kathmandu, Nepal.
Buda yang meraih emas bagi kategori ‘Men’s Master Bodybuilding 50–60 years’ telah mengalahkan atlit Korea, Kipyong Lim di tempat kedua dan atlit Thailand, Somkhit di tempat ketiga.
Di kejohanan yang sama, Buda turut memenangi pingat gangsa bagi kategori ‘Men’s Bodybuilding 65 Kilograms’.
“Dengan meraih pingat emas serta berkumandangnya lagu ‘Negaraku’ di Bumi Nepal adalah satu kepuasan bagi saya,” katanya.
Di sebalik kejayaan tersebut, Buda ,51, memberitahu ia adalah kejohanan terakhir bagi beliau.
Atlit yang berasal dari Sri Aman itu mengumumkan persaraan setelah 30 tahun berkecimpung dalam sukan bina badan.
“Dengan rasa sedih, saya memutuskan untuk bersara dari sukan bina badan setelah 30 tahun.
“Namun demikian saya akan tetap aktif dalam perkembangan sukan yang saya sayangi ini,” kata Buda.
Sepanjang penglibatan dalam sukan bina badan, Buda memenangi juara dunia sebanyak empat kali dan juara Asia sebanyak 12 kali.
Di atas sumbangan dan pencapaian di arena bina badan, Buda berharap kerajaan dapat memberi pengiktirafan kepada beliau.
Katanya, ia adalah sebagai kenangan dan pembakar semangat kepada atlit muda untuk berjaya dalam sukan masing-masing. — DayakDaily