Buaya sepanjang 10 kaki sesat masuk parit di Taman Serambi, Petra Jaya

Pasukan bomba menangkap buaya jantan tersebut.

KUCHING, 14 Okt: Seekor buaya jantan sepanjang 10 kaki ditemui terperangkap di dalam parit di Taman Serambi, Petra Jaya, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata bilik kawalan menerima laporan pada jam 10.16 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba menggunakan tali untuk mengikat mulut buaya tersebut terlebih dahulu bagi mengelak risiko bahaya.

“Setelah buaya berjaya ditangkap, pihak bomba menyerahkan buaya tersebut kepada Sarawak Forestry Corporation,” katanya.

Pasukan bomba kemudian beredar pulang ke balai selepas keadaan disahkan selamat. — DayakDaily