BSN sedia perkhidmatan bank begerak bagi penduduk Sebauh, Sungai Asap

Pengarah Negeri BSN Amri Ahmad, (kiri) menerima surat lantikan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (dua kiri) bagi kawasan perkhidmatan BSN pada Fasa 1 ialah Sebauh dan Sungai Asap. -Foto Kredit CMO

KUCHING, 7 Mei: Penduduk di kawasan pendalaman dan luar bandar khususnya di kawasan Sebauh dan Sungai Asap kini tidak perlu bersusah payah untuk ke pekan atau bandar terdekat bagi urusan atau mendapatkan perkhidmatan perbankan.

Ia susulan penyedia operasi kaunter bank bergerak yang disediakan oleh Cawangan Bank Bergerak Bank Simpanan Nasional (CBB BSN) di kawasan itu yang mempunyai lebih 36,000 orang penduduk.

Ketua Eksekutif BSN Jay Khairi berkata, menerusi perkhidmatan berkenaan yang dilancarkan kerajaan Sarawak semalam, bank itu akan dapat menyediakan perkhidmatan perbankkan kepada pelanggannya sama seperti perkhidmatan yang di sediakan di kaunter tetap bank berkenaan.

“Perkhidmatan operasi kaunter melalui CBB BSN ini bertujuan untuk memudahkan urusan perbankan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak terutamanya di daerah Sungai Asap dan Sebauh yang mempunyai jumlah penduduk seramai lebih 36,000 orang” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi bank bergerak berkenaan menggunakan kenderaan jenis  yang diubah suai bagi menempatkan satu unit mesin ATM dan dua kaunter pelanggan yang mengguna pakai terminal Pos Ejen Bank (EB).

Katanya, perkhidmatan yang disediakan termasuk pembukaan akaun dengan kad ATM, deposit dan pengeluaran tunai, pemindahan wang, pembelian BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), tambah nilai, pembayaran tanpa tunai serta pembayaran bil.

“Pelanggan boleh melayari laman web BSN www.bsn.com.my atau menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai CBB BSN atau produk-produk BSN yang lain,” katanya. — DayakDaily