BSB merancang tarik 1,000 keluarga sertai penternakan kelulut

Honey. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, Mei 23: Sebuah syarikat utama dalam industri madu kelulut, Borneo Stingless Bee Sdn Bhd (BSB) dan Jabatan Pertanian Sarawak merancang untuk menarik sebanyak 1,000 keluarga di seluruh negeri ini untuk terlibat dalam perusahaan madu kelulut.

Pengarah BSB Tan Chun Chuang berkata ia memandangkan permintaan yang tinggi ke atas madu kelulut di pasaran antarabangsa, yang memerlukan lebih kurang 50 tan sebulan.

Menurut beliau, permintaan ke atas madu kelulut adalah dari China, Hong Kong, Korea dan negara Timur Tengah.

Advertisement

“Sebab itu, kami mensasarkan terutama penduduk di luar bandar untuk bersama-sama terlibat di dalam industri ini di mana kami akan membantu mereka dari segi teknologi dan cara untuk menghasilkan madu yang berkualiti untuk pasaran antarabangsa.

“Ini juga akan memberi pendapatan kepada mereka di mana kami akan membeli madu kelulut daripada mereka pada harga RM80 sekilogram, dan kalau satu keluarga boleh menghasilkan 50 kilogram madu sebulan, maka pendapatan mereka adalah RM4,000 sebulan,” katanya ketika ditemu-bual.

Terdahulu, Tan mewakili BSB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri, bagi mempertingkatkan industri madu kelulut di Sarawak dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini.

Tan menambah rakyat Sarawak khususnya penduduk luar bandar mempunyai kelebihan untuk terlibat dalam industri madu kelulut kerana sarang lebah kelulut mudah didapati di negeri ini selain tidak terlalu mahal, berbanding di Semenanjung.

“Di sini, harga satu sarang adalah kira-kira RM100 namun kalau ia sudah menghasilkan dua atau tiga kilo madu, maka modal itu akan balik,” katanya.

Katanya pada masa ini, hanya terdapat lebih 200 sahaja pengusaha kelulut di seluruh Sarawak, yang kebanyakannya membabitkan penduduk di kawasan pesisir pantai di Sibu, Sarikei, Tanjong Manis, Kuching, Sri Aman, Bintulu dan Miri. — DayakDaily

Advertisement