Bot tunda berserta tongkang ditahan atas pelbagai kesalahan

Bot tunda dan tongkang yang ditahan dalam operasi tersebut.
Advertisement

KUCHING, 13 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak telah menahan sebuah bot tunda beserta tongkang kerana disyaki beroperasi menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari Tanjung Po, Kuching sekitar jam 10 malam, semalam.

Katanya, tangkapan dibuat semasa anggota Maritim Malaysia sedang melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Kuching dan telah mengesan sebuah bot tunda berserta tongkang dengan muatan pasir dianggarkan 1 tan metrik.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen lesen vesel yang telah tamat tempoh dan tidak memiliki sebarang dokumen Port Clearance ketika diperiksa oleh penguat kuasa.

“Bot tunda beserta tongkang tersebut dikendalikan oleh enam kru termasuk nakhoda kesemuanya lelaki berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 67 terdiri dari dua lelaki warga tempatan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Manakala empat lelaki warga India tersebut disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua kru, bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir tersebut ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Muara Tebas untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana mempamerkan lesen vesel yang telah tamat tempoh ketika diperiksa.

“Siasatan juga dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 kerana tidak memiliki dokumen Port Clearance dan Akta Imigresen 1959/63 kerana keempat kru warga asing disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan ketika diperiksa penguat kuasa.”

Ujarnya Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut.

“Laporan boleh dibuat secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement