Nelayan ceroboh taman laut ditahan

Nelayan yang ditangkap ceroboh taman laut.

MIRI, 14 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) di perairan Miri pada jarak lebih kurang 10.8 batu nautika dari barat daya Tanjung Lobang, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata aset Maritim Malaysia KM Stapa telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan yang dipercayai sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan sekitar jam 3.00 petang semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan yang dikendalikan oleh seorang tekong lelaki warga tempatan bersama empat lelaki kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 26 hingga 62 tahun.

“Kesemua kru termasuk tekong telah ditahan kerana disyaki telah menceroboh kawasan taman laut dengan melakukan aktiviti menangkap ikan di Sibuti Coral Reef National Park, Miri dibawah Ordinan Taman Negara dan Rezab Semula Jadi 1998.

“Bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 500 kilogram ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes ini akan disiasat di bawah Ordinan Taman Laut dan Rezab Semula Jadi 1998 dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 5 ribu, dan penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maritim Malaysia akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam usaha menguatkuasakan undang-undang di perairan negara bagi menjamin kelestarian komuniti maritim setempat,” katanya.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily