Bot karam, seorang masih hilang di Kuala Niah

Anggota penyelamat sedang mendapatkan maklumat berhubung kejadian.

MIRI, 2 Dis: Seorang lelaki masih hilang, manakala seorang lagi ditemui selamat selepas bot dinaiki mereka karam di Muara Kuala Niah, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kedua-dua mangsa semasa kejadian dalam perjalanan balik dari laut selepas memancing udang sekitar jam 12 tengah hari.

Katanya, nasib malang menimpa mereka apabila bot mereka tiba-tiba karam dan kedua-dua mereka dihayutkan arus.


“Seorang daripada mangsa yang berusia 52 tahun bagaimanapun berjaya dijumpai terdampar di pantai Kampung Kuala Lajong dalam keadaan selamat.

“Seorang lagi mangsa yang berusia 37 tahun masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, sebuah bot dipercayai bot mangsa juga telah dijumpai di pantai yang sama, lebih kurang 2 kilometer dari lokasi karam.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi pencarian berjalan kaki di pesisir pantau Kampung Kuala Lajong Niah dan kawasan tempat mangsa (selamat) dan bot ditemui,” katanya.

Operasi SAR ditangguhkan pada jam 7 malam dan akan disambung semula esok.

Turut sama dalam operasi SAR tersebut ialah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) dan pihak polis. — DayakDaily