KAPIT, 30 Mei: Sebuah bot yang membawa 14 penumpang dilaporkan karam di sungai berdekatan Jambatan Mujung, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata seorang daripada penumpang iaitu gadis berusia 17 tahun dilaporkan hilang dalam insiden tersebut.
Katanya, pihak Bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.37 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Dilaporkan terdapat 14 mangsa berada di dalam bot semasa kejadian di mana 13 daripadanya selamat dan seorang mangsa masih hilang.
“Dillaporkan bot tersebut dari arah Pekan Kapit ke Rumah Geramong Nanga Sipoh, Mujong Tengah telah karam akibat arus deras dan lebih muatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan esok selepas perbincangan dilakukan bersama keluarga mangsa dan pihak polis.
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Linsa Empih Melin, 17 tahun dan berasal dari Rumah Geramong Nanga Sipoh Mujong Tengah. — DayakDaily