Bomba temui dua mangsa hilang dalam tempoh 25 minit

Anggota bomba membawa kedua-dua mangsa balik ke kampung.

MARUDI, April 9: Pasukan bomba berjaya menemui dua lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di sebuah kawasan hutan di Kampung Narum di sini hari ini.

Pasukan bomba berjaya menemui kedua-dua mangsa dalam tempoh masa kira-kira 25 minit sahaja.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat Marudi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.23 pagi.


Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Pasukan penyelamat kemudian bergerak ke lokasi menggunakan jalan darat dan sungai untuk tiba di lokasi dalam jarak kira-kira 4 kilometer.

“Beberapa minit kemudian pasukan penyelamat mendengar suara mangsa seterusnya kedua-dua mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat pada pukul 11.45 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, pasukan bomba kemudian membawa kedua-dua mangsa keluar dari kawasan hutan untuk dibawa balik ke kampung.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.50 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily