PRU14: Riot kata beliau akan dinamakan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Serian

Riot (dua dari kiri) merakamkan gambar bersama para penerima geran MRP di Serian.

SERIAN, April 9: Dato Sri Richard Riot Jaem mendedahkan bahawa beliau akan dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Serian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Justeru, Menteri Sumber Manusia itu menegaskan bahawa khabar angin mengatakan bahawa beliau akan digugurkan dan digantikan dengan muka baru adalah tidak benar.

“Ada orang yang mengatakan bahawa Richard Riot tidak akan dicalonkan semula. Kita tunggu sehingga pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri atau Ketua Menteri.


“Saya sudah tahu siapa yang ada dalam senarai itu. Anda lihat saya senyum sekarang, anda mesti tahu siapa dia,” kata Ahli Parlimen Serian selama enam penggal itu semas majlis penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) di Dewan Serbaguna Ranchan dekat sini.

Dalam pada itu, Riot yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata tidak gentar berhadapan lawannya, yang dijangkakan dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Namun demikian, beliau menyeru para pengundi di kawasan majoriti Bidayuh itu agar tidak mendengar ‘omong kosong’ daripada pembangkang.

Beliau menambah rakyat di Serian perlu terus menyokong Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan lagi kesinambungan pembangunan yang dibawa di dalam konstituensi berkenaan.

“Kita harus bersama-sama memastikan BN bukan hanya menang di Serian tetapi juga menang dengan majoriti besar,” katanya.

Menurut Riot, dengan mandat besar yang diberikan kepada BN, pembangunan di Serian diyakini akan diperhebatkan lagi dengan banyak projek besar termasuk pembinaan kompleks pentadbiran, pusat konvensyen dan sebagainya.

Sempena majlis, Riot telah menyampaikan geran MRP berjumlah hampir RM2.2 juta kepada 113 penerima yang terdiri daripada persatuan, kelab dan jawatankuasa kampung. — DayakDaily