Bomba tangkap buaya sepanjang 2.5 meter

Anggota bomba berusaha menangkap seekor buaya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

SONG, Jun 17: Pasukan bomba dan penyelamat Song berjaya menangkap seekor buaya di Kampung Gelam di sini hari ini.

Buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter itu ditangkap pada pukul 4.19 petang.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan reptilia itu pada pukul 4.01 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat penemuan buaya itu bagi melakukan operasi khas.

“Apabila tiba, pasukan mendapati terdapat seekor buaya terlekat pada mata kail yang dipasang oleh seorang anggota bomba di danau di belakang rumahnya.

“Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan operasi menangkap reptilia berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Pasukan bomba menunjukkan seekor buaya yang berjaya ditangkap.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap buaya itu.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.22 petang,” katanya. — DayakDaily