Bomba selamatkan wanita dari tingkat 3 sebuah bangunan di Bintulu

Wanita tersebut sedang ditenangkan oleh anggota Bomba.
Advertisement

BINTULU, 20 Feb: Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu mengambil masa 27 minit untuk memujuk seorang wanita yang dilihat duduk di bahagian luar tingkat tiga sebuah bangunan komersial di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.25 petang.

Katanya, anggota dari BBP Bintulu terus dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Komander operasi melaporkan seorang wanita berada di atas bangunan tiga tingkat dalam kedudukan kaki menghala ke luar bangunan.

“Pasukan penyelamat kemudian memujuk wanita itu dan kira-kira 27 minit kemudian wanita itu berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wanita tersebut kemudian ditenangkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Bomba kemudian bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan benar-benar selamat. — DayakDaily

Advertisement