Bomba selamatkan pemandu tersepit dalam kemalangan di Miri

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di Jalan Miri-Pujut, Miri.

MIRI, 26 Jun: Seorang lelaki dilaporkan tersepit di dalam keretanya selepas terlibat kemalangan di Jalan Miri-Pujut, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit pada jam 11.34 pagi.

Jelasnya, anggota Bomba dari Balai Bomba Miri dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

“Setiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta.

“Didapati seorang daripada pemandu tersepit dan berada dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan pada bahagian muka, kaki dan pendarahan yang banyak.

“Pasukan operasi berjaya mengeluarkan mangsa dan terus diberi bantuan kecemasan oleh unit EMRS Bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari. — DayakDaily