Bomba Sarawak sedia hadapi kemungkinan banjir Monsun Timur Laut

Khirudin melihat bot bomba yang sentiasa dalam keadaan siap sedia hadapi sebarang kecemasan.

KUCHING, 1 Okt: Seramai 1,398 anggota bomba di seluruh negeri ini dalam keadaan siap sedia hadapi kemungkinan banjir disebabkan monsun timur laut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(Bomba) Sarawak Khirudin Drahman berkata Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan monsun timur laut dijangka berlaku awal Disember ini.

Susulan itu, katanya pihak sudah bersiap sedia dari segi keanggotaan dan logistik.


“Kita mempunyai kekuatan seramai 1,398 anggota dan ia tidak termasuk anggota bomba sukarela, bomba komuniti, CERT dan Summer Camp yang siap sedia berkhidmat untuk menghadapi kemungkinan banji.

“Kekuatan logistik pula, kita mempunyai 16 buah lori, 67 kenderaan pacuan empat roda, 37 bot penyelamat, sebuah helikopter dan 18 unit EMRS,” katanya dalam sidang media sempena Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut hari ini.

Katanya, pihaknya kini juga dalam proses latihan dan pengujian bot serta melakukan simulasi pengurusan pangkalan hadapan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua agensi terlibat.

“Kita juga mengemaskini titik pendaratan bagi pesawaf kita di 38 lokasi bagi memudahkan penghantaran bantuan, penyelamatan dan sebagai situasi kecemasan,” katanya.

Khirudin juga menjelaskan mengenai operasi di lokasi banjir yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) COVID-19.

“Ada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan anggota kita akan setiasa mematuhinya.

“Di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pihak JKM dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan menyediakan kemudahan yang perlu termasuk pelitup muka,” katanya.

Tegasnya, adalah penting untuk mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.

Paling penting katanya, kluster banjir dapat dielakkan. — DayakDaily