Bomba naik sampan, padam kebakaran rumah panjang di Niah, Miri

Gambar komposit operasi memadam kebakaran tersebut.

BATU NIAH, 20 Nov: Anggota dari Balai Bomba Batu Niah terpaksa menumpang sampan penduduk kampung untuk menyelamatkan Rumah Panjang Sulang, Sungai Tajan, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata rumah panjang tersebut dilaporkan terbakar pada jam 11.47 pagi.

Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba Niah yang kebetulan berada di Dewan Sepupok untuk membuat persiapan Program Bomba Komuniti terus ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengambil masa 40 minit untuk sampai ke lokasi disebabkan pelbagai halangan dan setiba di lokasi kejadiann terus menumpang sampan penduduk rumah panjang untuk menyeberangi sungai Tajan.

“Pasukan Bomba terus membentang hos 200 kaki dua nozel menggunakan pam angkut dan mendapatkan air dari sungai.

“Pasukan Bomba berjaya mengawal kebakaran dan memadamkan kebakaran serta menyelamatkan rumah panjang kerana mempunya i natural fire break berjarak lebih kurang 20 kaki dari rumah yang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, tiada kemalangan jiwa dan kebakaran hanya melibatkan 4 buah rumah.

“Bangunan yang terbakar adalah struktur baru yang berjarak hanya 20 kaki dari bangunan lama rumah panjang.

“Rumah panjang lama yang mempunyau 39 pintu dalam keadaan selamat,” katanya.

Keempat-empat rumah yang terbakar didiami 4 keluarga terdiri daripada 15 orang penghuni dan kesemua mereka tiada di rumah semasa kebakaran berlaku.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba. — DayakDaily