Bomba lakukan khidmat khas bawa turun warga emas dari Gunung Singai

Anggota bomba membawa lelaki warga emas turun dari Gunung Singai Bau, hari ini.

BAU, Mac 14: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau telah melakukan khidmat khas membawa turun seorang lelaki warga emas yang mengalami masalah kepenatan ketika mendaki Gunung Singai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi itu, lelaki yang berusia 65 tahun tersebut dikatakan sedang mendaki gunung tersebut bersama 69 pendaki lain.

Kesemua mereka difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah gereja di gunung tersebut untuk melakukan upacara keagamaan.

Sementara itu, Ketua BBP Bau, Ebby Herwandy Sarbini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.08 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima laporan itu, enam anggota bomba telah dikerahkan ke gunung tersebut bagi melakukan khidmat khas membawa turun warga emas berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi warga emas tersebut sedang duduk, namun dalam kepenatan melampau.

“Malah, dia tidak mampu lagi untuk bergerak balik ke kaki gunung tersebut. Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa dia turun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ebby memberitahu, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung tersebut.

“Lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Bau bagi menerima rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily