Bomba bantu selamatkan pemandu lori tanker diesel tersepit

Anggota Bomba dari Balai Miri Central membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

MIRI, 7 Feb: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Miri awal pagi tadi bertindak mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit di dalam tempat duduk pemandu sebuah lori tanker membawa muatan minyak diesel selepas ia terbabas sendiri berhampiran stesen minyak Tamu Muhibbah.

Difahamkan, sebelum kejadian, lori tersebut dalam perjalanan menuju ke arah Taman Awam dari pusat bandar.

Namun, lori itu secara tiba-tiba terbabas sendiri dan melanggar dinding jejambat yang terletak tidak jauh dari stesen minyak tersebut.


Menurut Pemangku Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Ahmad Nizam Sapaiee, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 1.04 pagi tadi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.

“Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Miri Central telah dikerahkan ke lokasi kejadian,” ujarnya.

Anggota Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit itu menggunakan ‘rescue tool’ dan menyerahkannya kepada pihak Hospital Miri untuk tindakan lanjut. — DayakDaily