Bomba bantu pindahkan mangsa banjir di Bintangor

Gambar komposit menunjukkan anggota Bomba membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.

BINTANGOR, 1 Mac: Lebih 20 orang termasuk seorang bayi dari Rumah Michael, Ulu Stras di sini diselamatkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) selepas rumah panjang tersebut dilanda banjir kilat hari ini.

Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.56 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati berlaku banjir dan paras air sedalam 3-4 kaki dari permukaan jalan. Kesemua mangsa masih tunggu ketibaan Bomba untuk membawa mereka keluar dari kawasan banjir.

“Pasukan Bomba memindahkan mangsa menggunakan bot serta memasang tali dari rumah yang banjir.

“Kesemua mangsa berjaga dipindahkan ke kawasan rumah berdekatan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas semua mangsa berjaya dipindahkan, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.30 pagi. — DayakDaily