KUCHING, Feb 11: Sejumlah 14 tan bekalan makanan dihantar untuk mangsa banjir yang terputus hubungan akibat bencana di bahagian Bintulu dan Miri.
Misi penghantaran bekalan makanan mangsa banjir itu menggunakan perkhidmatan helikopter dan bot kevlar milik bomba.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, penghantaran bantuan bekalan makanan di Bintulu melibatkan 740 keluarga dan 4,354 penerima.
Katanya, misi bantuan khas itu dilakukan kerana kawasan tersebut terputus hubungan akibat bencana banjir.
“Semalam sahaja, kita telah melakukan penghantaran bekalan makanan menggunakan helikopter bomba dari Tatau Ke Nanga Tau sebelum ke Julau Bintangor.
“Pasukan misi bantuan makanan itu kemudian melakukan penerbangan ke kawasan Pedai Kanowit, Kampung Telahak dan Tanjung Unggar Limbang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, misi menghantar bantuan makanan juga dilakukan ke Long Loyang menggunakan bot bomba kevlar.
Katanya, pasukan sama kemudian ke Rumah Panjang Asong Linei untuk mengagihkan bekalan makanan ke Rumah Asong Linei, Rumah Rok Linei, Rumah Lajang Linei, Long Pahlo, Long Patan, Kampung Long Panai, Klinik Long Panai, SMK Tutoh Apoh dan SK Long Panai.
“Misi menghantar bekalan makanan juga dihantar ke Long Loyang menggunakan bot kevlar,” ujarnya lagi. — DayakDaily