Bomba ambil masa tiga jam keluarkan kaki kanak-kanak tersekat dalam lubang paip

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersekat dalam lubang paip

SERIAN, Sept 25: Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira selama tiga jam untuk mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak perempuan yang tersekat di dalam saluran paip di sebuah bilik mandi di Taman Pasir di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa yang berusia 6 tahun terpaksa menahan kesakitan selepas kaki kanannya tersekat di dalam saluran paip tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.03 tengah hari.

Jelasnya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden tersebut, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati kaki kanan kanak-kanak terbabit masih tersekat meskipun ahli keluarga mangsa cuba untuk mengeluarkan kaki mangsa sebelum itu.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memecahkan simen lantai di sekitar kawasan lubang saluran air itu dengan mengunakan peralatan khas iaitu ‘rambar tool’ dan ‘breaker’,” katanya di sini hari ini.

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersekat dalam lubang paip

Tiong menambah, operasi memecahkan simen itu dilakukan bagi mencari batang saluran paip tersebut.

Katanya, operasi yang mengambil masa selama tiga jam itu akhirnya berhasil apabila saluran paip yang diperbuat daripada plastik tersebut dipotong menggunakan gergaji paip.

“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan kaki budak perempuan tersebut tanpa sebarang kecederaan serius.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 4.08 petang,” katanya. — DayakDaily