PGA Sarawak rampas 5,320 karton rokok seludup

KUCHING, Sept 25: Kejayaan menahan dua lelaki yang membawa 20 kotak minuman keras dengan menggunakan sebuah van membawa kepada penemuan 5,320 karton rokok seludup pelbagai jenama di sebuah stor di Jalan Jamboree off Jalan Stakan di sini hari ini.

Dalam serbuan itu pada pukul 10 pagi itu, pasukan serbuan turut berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai pemilik stor berkenaan.

Komander Briged Sarawak PGA, Dato’ Khaw Kok Chin berkata, ketiga-tiga suspek warga tempatan yang ditahan itu berumur antara 21 hingga 65 tahun.

Jelasnya, nilai rampasan keseluruhan rokok haram itu dianggarkan bernilai RM115,425 iaitu nilai sebelum cukai.

Khaw (tengah) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas.

“Siasatan awal mendapati, kesemua barangan rampasan tersebut disyaki dibawa masuk dari negara jiran.

“Kita juga percaya semua barangan tersebut adalah untuk pasaran tempatan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini hari ini.

Khaw menambah, penahanan ke atas ketiga-tiga suspek dilakukan selepas mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen percukaian sah daripada pihak berkuasa.

Katanya, mereka (tiga suspek) akan ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. — DayakDaily