BINTULU, Mac 5: Pasukan bomba berjaya memujuk seorang wanita berusia 26 tahun yang cuba membunuh diri dalam satu kejadian di RPR Bandar Ria Park, Jalan Bintulu-Tatau, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Zulkifli Narawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.30 malam.
Katanya, sejurus menerima laporan berhubung cubaan bunuh diri itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari BBP Bintulu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang wanita cuba membunuh diri dari tingkat satu di sebuah flat lima tingkat di situ.
“Anggota bomba kemudian bertindak menenangkan serta memujuk mangsa daripada tidak melakukan perkara yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkifli menambah, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk mangsa.
Katanya, mangsa yang berjaya dipujuk kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya selepas wanita berkenan dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan,” ujarnya lagi. — DayakDaily