Lima warga Indonesia nyaris maut

Anggota bomba membantu lima warga Indonesia yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

SARATOK, Mac 5: Lima warga Indonesia nyaris maut apabila sebuah kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Simpang Kerian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, empat lelaki dan seorang wanita Indonesia dilaporkan mengalami kecederaan selepas Perodua Myvi yang dinaiki hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Zainudin Manan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.43 pagi.


Katanya, sejurus menerima laporan itu, tujuh anggota bomba dari BBP Saratok telah diarahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kesemua mangsa berjaya keluar dari kenderaan tersebut.

“Namun begitu, kesemua mereka dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainudin menambah, anggota bomba kemudian bertindak memberi rawatan awal kepada semua mangsa.

Katanya, selepas mendapat rawatan, tiga orang mangsa kemudian dibawa menggunakan jentera EMRS ke Hospital Saratok.

“Dua lagi mangsa pula dibawa menggunakan ambulans hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya lagi. — DayakDaily