Bina jalan alternatif elak Bau terputus hubungan ketika bencana

Anelia (tengah) ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa pengurusan Bencana Daerah Bau.

Bau, 16 Jan: Satu lagi jalan alternatif bagi menghubungkan Kampung Grogo dengan pekan Bau dan Lundu dicadang untuk dibina pada masa akan datang.

Pegawai daerah Bau Anelia Siam berkata, pembinaan jalan alternatif tersebut penting bagi mengatasi masalah jalan perhubungan di kampung berkenaan yang sering terputus jika berlakunya kejadian tanah runtuh atau banjir.

Menurut beliau, jika laluan utama menghubungkan kampung tersebut dengan pekan Bau dan Lundu, hanya laluan jalan dari kampung Keranji dapat digunakan oleh penduduk terlibat.


“Jadi sesiapa yang dari Lundu hendak ke Bau, mereka perlu ke Kuching terlebih dahulu sebelum dapat sampai ke pekan Bau.

“Laluan itu hampir 90 peratus pusingan yang perlu dilalui oleh mereka jika hendak ke Bau ini,” katanya ketika di temui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bau di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 38 batang jalan di kawasan Bau telah terjejas akibat kejadian tanah runtah dan ditengelami air.

Daripada jumlah tersebut, 30 batang jalan telah terputus akibat tanah runtuh manakala lapan batang jalan lagi ditengelami air banjir.

Katanya, bagi laluan jalan di Kampung Grogo yang terjejas akibat tanah runtuh, satu lencongan sudah dibuat bagi membolehkan ia dilalui kenderaan.

Bagaimanapun beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan tersebut memandangkan masih terdapat risiko berlaku tanah runtuh di lokasi terbabit.

“Pembersihan di kawasan itu, Jabatan  Kerja Raya tak nasihatkan lagi sebab kalau tanah di lokasi tersebut dibersihkan terdapat kemungkinan berlaku lagi kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut,” katanya.

Anelia berkata, dalam kejadian Rabu lalu, hampir 70 peratus bahagian jalan terbabit diselaputi tanah selepas teres tebing bukit di bahu jalan terbabit runtuh.

Katanya, lencongan yang dibuat di lokasi tersebut menjadikan ia satu-satunya jalan keluar daripada kawasan tersebut untuk ke pekan Bau atau Lundu.

“Kita hanya ada dua sahaja lalun masuk, satu daripada Jalan Stephen Yong ke Bau melalui Jalan Bau lama dan satu lagi daripada Bau ke Grogo dan Sebuluh ini.

“Jalan ini (Jalan Bau-Grogo-Sebuluh) sudah 50 peratus tidak dapat berfungsi dan hanya dapat sebelah Kampung Keranji itu dan itupun selalu berlaku kejadian tanah runtuh,” katanya.

Tambah Anelia perancangan jangka panjang termasuk pembinaan jalan alternatif untuk menghubung Bau dengan kawasan di sekitarnya amat diperlukan bagi memastikan kawasan tersebut tidak terus terputus hubungan jika berlaku kejadian tanah runtuh atau banjir.

“Kalau jalan perhubungan ini terputus, kita akan mengahadapi kesukaran terutama ketika hendak menghantar pesakit ke hospital Bau untuk mendapatkan rawatan.

“Walaupun kita masih boleh menggunakan pengangkutan udara namun ia sangat terhad dan memakan kos yang tinggi,” katanya. — DayakDaily