Berang kerana pagar kayu diroboh, 4 lelaki termasuk warga emas dan remaja menyerang pemuda

Keempat-empat suspek dibawa ke Balai Polis Bekenu untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Sept: Empat lelaki, termasuk seorang warga emas bertindak menyerang seorang pemuda di rumahnya bersebelahan sebuah rumah panjang di Bekenu pada malam Ahad kerana berang dengan tindakan mangsa yang memotong dan nerobohkan sebuah pagar dibina berhampiran.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam itu, mangsa berusia 37 tahun itu sedang tidur di dalam rumahnya apabila didatangi keempat empat mangsa tersebut, yang kemudiannya memukul dan menolak mangsa menggunakan sebatang kayu.


Beliau menambah, keempat -empat suspek, yang berusia 17, 25, 26 dan 57 tahun itu dipercayai telah berang dengan tindakan mangsa kerana merobohkan pagar kayu tersebut yang dibina penduduk kampung rumah panjang bersebelahan rumah mangsa.

“Pagar yang dipotong oleh mangsa adalah bersempadan dengan kawasan rumahnya dengan rumah panjang keempat-empat suspek terbabit, dan merupakan laluan pintas orang kampung,” katanya.

DIfahamkan pagar tersebut telah dibuat oleh penduduk rumah panjang terbabit tanpa persetujuan daripada penduduk kampung yang lain.

Hasil siasatan lanjut mendedahkan tujuan mangsa memotong pagar tersebut adalah untuk memudahkan penduduk kampung yang lain lalu di kawasan tersebut, memandangkan kawasan itu selalu banjir dan tidak ada laluan lain selain laluan yang dihalang oleh penduduk rumah panjang berkenaan.

Susulan kejadian, mangsa telah tampil membuat satu laporan polis.

Mangsa dilaporkan mrngalami kecederaan lebam di bahagian belakang badan serta luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan.

Bertindak dari lapiran terbabit, polis pada petang Selasa (2 Sep) sekitar jam 2.30 petang berhadapan rumah panjang bersebelahan rumah mangsa telah menahan keempat empat suspek untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan). — DayakDaily