Oleh Brad Rantayy
MIRI, 6 Mei: Gara-gara wang, seorang anak sanggup mengugut mencederakan ibu kandungya dalam satu kejadiam amok di flat Quadruplex Bandar Baru Permyjaya pada pagi Selasa (4 Mei).
Malah, suspek tergamak menjual barang-barang milik ibunya untuk membeli bekalan dadah.
Difahamkan dalam kejadian pada awal pagi Selasa kira-kira jam 8.15 pagi itu, suspek tiba-tiba menjadi berang selepas ditegur ibunya agar tidak lagi menjual barang miliknya di dalam rumah berkenaan.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat ibu suspek kerana bimbang akan keselamatannya.
Suspek yang tidak bekerja itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian di rumah ibunya oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri semalam sekitar jam 9.15 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily