Tiada ADUN, menteri kabinet negeri selepas 7 Jun, kata Abun Sui

Abun Sui Anyit

KUCHING, 6 Mei: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan terbubar dengan sendirinya pada 6 Jun depan sekaligus menjadikan Sarawak tidak lagi mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada daripada blok pembangkang ataupun blok kerajaan

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abun Sui Anyit berkata, perkara itu juga secara tidak langsung menjurus kepada ketiadaan wang yang boleh di keluarkan daripada perbendaharaan negeri bagi membayar gaji menteri dan wakil rakyat yang telah tamat tempoh penggal mereka berdasarkan Perkara 68, Ordinan 2013, Ahli Pendtadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Gaji, Pencen dan Gratuiti).

Katanya, selepas tarikh tersebut, parti yang membentuk kerajaan Sarawak sebelum ini hanya bergerak sebagai pemerintah sementara atau ‘caretaker government’ yang hanya menjalankan tugas-tugas biasa tanpa melibatkan polisi baharu dan tidak boleh membuat keputusan dasar baharu.


“Dalam situasi biasa tanpa darurat, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tempoh DUN tamat dengan sendirinya pada 6.62021 ini.

“Bermakna hari terakhir untuk memilih dan mengisi semula kekosongan DUN Sarawak adalah pada 6 Ogos, 2021 atau pilihan raya mesti diadakan sebelum atau pada 6 Ogos, 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abun Sui berkata, berdasarkan situasi Malaysia yang dibawah proklamasi darurat, sebarang pilihan raya bagi Sarawak hanya boleh diadakan tertakluk kepada perintah dan warta yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, perkenan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Lembaga Penasihat Yang di-Pertuan Agong berkenaan Darurat 2021 tertakluk kepada situasi penularan pendemik Covid-19 di Sarawak ketika ini.

“Jika keadaan kes positif Covid-19 masih teruk di Sarawak, kemungkinan besar Pilihan Raya Sarawak terpaksa ditangguhkan melangkaui tarikh 6 Ogos 2021 sehingga ke satu tarikh yang sesuai dan selamat dari gejala pandemik Covid 19,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Abun Sui, PKR Sarawak Sarawak sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang akan diadakan pada bila-bila masa. — DayakDaily