Belum pasti kakitangan awam negeri akan mengikuti Waktu Bekerja Fleksi

Uggah (duduk tiga dari kiri ) pada sidang media selepas merasmikan Program My Best Buy (MBB) Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Seluruh Malaysia.

KUCHING, Feb 28: Kakitangan awam negeri ini belum dapat dipastikan samada akan mengikut kakitangan awam persekutuan melaksanakan projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) yang bermula Mac 1 ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas enggan menjawab soalan samada kerajaan negeri ada perancangan meminta kakitangan awam negeri ini mengikut kakitangan awam persekutuan melaksanakan projek rintis waktu bekerja baru WBF itu.

“Saya tidak akan menjawab soalan itu sekarang, maaflah,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program My Best Buy (MBB) Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Seluruh Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) akan dilaksanakan Mac 1 ini di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dalam satu pekeliling kepada semua ketua setiausaha kementerian menjelaskan ianya akan dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, dan jabatan persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Beliau menjelaskan waktu pejabat WBF ini akan bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang kecuali hari Khamis di Johor dan Terengganu, yang bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang.

Katanya pegawai boleh memulakan tugas pada bila-bila masa antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi tetapi pegawai yang mengetik kehadiran pada jam 8.31 pagi dikira lewat memulakan tugas.

Selain itu WBF hendaklah dilaksanakan berdasarkan waktu bekerja sehari iaitu selama sembilan jam termasuk waktu rehat sejam.

“Contohnya, pegawai yang memulakan tugas pada jam 8.07 pagi akan menamatkan tugas pada jam 5.07 petang,” katanya.

Manakala pegawai yang memulakan tugas sebelum jam 7.30 pagi akan dianggap memulakan tugas pada jam 7.30 pagi serta sebarang tuntutan bayaran lebih masa adalah tidak dibenarkan melainkan pegawai diarah sedemikian. — DayakDaily